Monday, July 2, 2007

Khutbah Dari Rusila: Majoriti umat manusia alpa persoalan akhirat


Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang Thu Jun 28, 07 12:30:48 PM

Wahai hamba-hamba Allah, saya berpesan kepada kamu dan kepada diri saya sendiri supaya bertakwa kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Sila layari http://www.englishsection.com/ untuk Laman Utama English Section atau http://www.harakahdaily.net/

Maka sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertakwa. Carilah bekalan, sebaik-baik bekalan itu ialah bertakwa kepada Allah.
Seterusnya marilah kita melihat betapa Allah Taala telah menunjukkan di hadapan manusia di seluruh dunia tanda-tanda kemusnahan alam akibat daripada perbuatan manusia.
Berlakunya beberapa bencana yang menenggelamkan bumi, menghancurkan bukit dan gunung-ganang serta bencana yang mengorbankan jiwa manusia yang ramai, menghilangkan harta benda, ia tidak mampu ditolak oleh kemajuan sains dan teknologi sehingga akhirnya ahli-ahli sains dan termasuk mereka yang tidak percaya kepada berlakunya hari kiamat, percaya bahawa dunia ini akan musnah.

Mereka percaya suatu masa bahawa bumi ini akan kiamat, namun mereka tidak membincangkan apakah persediaan untuk kiamat tersebut.
Inilah persoalan yang tidak diberikan perhatian oleh kebanyakan manusia. Allah Taala telah mengingatkan kita dalam al-Quran, antara firman-Nya (yang bermaksud): “(Ingatlah) hari (kiamat yang padanya) tiap-tiap seorang akan mendapati apa sahaja kebaikan yang telah dikerjakannya dan demikian juga apa sahaja kejahatan yang telah dikerjakannya. Ketika itu tiap-tiap orang yang bersalah ingin kalau ada jarak yang jauh antaranya dengan amalnya yang jahat itu. Dan Allah perintahkan supaya kamu ingat beringat terhadap kekuasaan dirinya dan Allah amat belas kasihan kepada hamba-hamba-Nya. (Surah Ali Imran: ayat 30)
Ayat ini adalah peringatan daripada Allah SWT kepada seluruh manusia bahawa Allah akan memperlihatkan semua amalan mereka, akan dihisab sama ada amalan yang baik mahupun jahat. Bukan sahaja diketahui oleh Allah bahkan ia dicatat oleh para malaikat dan disaksikan oleh anggota badan manusia sendiri.
Firman Allah Taala yang bermaksud: “Pada waktu itu, Kami mengunci mulut mereka dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing) dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.” (Surah Yaasin: ayat 65)

Pada hari itu, setelah dibuka segala amalan mereka, mereka hanya mahu amalan-amalan yang baik sahaja. Kalau boleh amalan jahat yang dilakukan oleh mereka dijauhkan dengan sejauh-jauhnya. Padahal amalan jahatlah yng sangat diingati oleh mereka dalam kehidupan di dunia ini.
Itulah peringatan Allah Taala tetapi kebanyakan manusia melupai perkara ini, bahkan mereka dilalaikan oleh kehidupan yang menggoda. Allah Taala memperingtakan dalam al-Quran yang menyatakan bahawa amalan mereka akan diperhitungkan dengan penuh teliti.
Antara lainnya, firman Allah Taala yang bermaksud: “Maka sesiapa berbuat kebaikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya amalnya dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya.” (Surah Al-Zalzalah: ayat 7-8)
Tetapi apa yang malangnya ialah semua hal yang seumpama ini tidak diberikan perhatian oleh kebanyakan manusia. Maka seolah-olah manusia tenggelam dalam kehidupan dunia selama-lamanya.

Pada mereka, tidak ada kematian yang akan berlaku, lantas mereka lari daripada petunjuk Allah Taala. Mereka lari daripada agama Allah Taala dan membuat ajaran-ajaran sendiri, kemudian beramal mengikut kemahuan diri sendiri. Tindakan itu menyebabkan mereka hanyut dalam kehidupan yang menyusahkan di dunia serta di akhirat akan mengalami keadaan yang lebih susah dan lebih menyulitkan.

Firman Allah Taala yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad), jika benar kamu mengasihi Allah, maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Katakanlah (wahai Muhammad), taatlah kamu kepada Allah dan rasul-Nya, oleh itu, jika kamu berpaling, maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir.” (Surah Ali Imran: ayat 31-32) – lanh

ANTARA PUASA, PUAS, TAKWA DAN INTEGRITI




Dari Dr Danial bin Zainal Abidin dalam ruangan Motivasi Mutiara pada 25 September 2006, hari Isnin jam 7.30 pagi di Mutiara FM Pulau Pinang 95.7 Mhz (Hasil Nukilan Ariff Budiman)


Assalamulaikum wbt. Tuan-tuan & puan-puan, para peminat Mutiara FM yang dimuliakan. Khusus bagi muslimin dan muslimat Dr Danial ingin mengucapkan selamat berpuasa dan selamat menyambut Ramadhan Al – Mubarak. Semoga sambutan ramadhan pada kali ini menjadikan kita insan kelas pertama yang akan mendapat hasanah di dunia dan juga hasanah di akhirat insyaallah.
Apabila kita berpuasa kita mempunyai tujuan dan matlamat tuan-tuan & puan-puan. Sudah pastinya tujuan & matlamat kita bukan untuk menguruskan badan, mengawal obesiti, menurunkan paras kolesterol dan glukos dalam sistem darah kita. Sebaliknya Allah swt menegaskan dalam surah Al-Baqarah bahawa tujuan dan matlamat kita berpuasa ialah “ Laallakum tattaqun ”. Semoga dengannya kata Allah kamu mencapai status takwa. Itulah tujuan dan matlamat utama kita berpuasa, iaitu untuk mencapai status takwa.
Oleh kerana status takwa ini amat penting untuk kita capai, kita perlu sama-sama memahami maksud takwa. Apa dia takwa?
Pada pagi ini mari kita mengambil definisi yang telah di utarakan oleh sahabat nabi yang bernama Abdullah bin Mas’ud r.a. Sahabat nabi ini mendefinisikan takwa yang sebenarnya sebagai, "taat tidak maksiat, ingat tidak lupa dan syukur tidak kufur." Dalam erti kata yang lain, andaikata kita menjadi insan yang sentiasa taat kepada Allah dan tidak bermaksiat, dan kita juga merupakan insan yang sentiasa ingat kepada Allah dan tidak melupakannya, dan kita juga merupakan insan yang sentiasa bersyukur kepada Allah dan tidak kufur, maka ketika itu insyaallah kita mencapai status takwa.
Jika ketiga-tiga ciri ini menghiasi diri kita maka kita merupakan insan bertakwa. Kita hanya boleh mengetahui samada kita mencapainya ataupun tidak ialah selepas selepas ramadan. Dalam masa tidak sampai sebulan lagi apabila kita menyambut 1 Syawal, ketika itu kita mengetahui samada kita mencapai tujuan dan matlamat berpuasa ini ataupun tidak. Andaikata ketika kita memasuki Syawal sebulan lagi insyaallah kita terus berada di dalam ketaatan dan tidak maksiat insyaallah kita merupakan orang yang bertakwa.
Sebaliknya apabila kita menyambut 1 Syawal, hancur kesemua ketaatan yang kita bina di musim ramadan, jelas sekali tidak ada sebarang faedah kita berpuasa dalam bulan ramadan kecuali kita mendapat 2 anugerah sahaja iaitu lapar dan dahaga. Lainnya tidak ada. Tuan-tuan & puan-puan sudah pastinya kita hendak mengejar takwa. Jangan kita sia-siakan bulan yang mulia ini. Mari sama-sama kita jadikan bulan yang mulia ini untuk menjadi mulia. Mari sama-sama kita jadikan bulan yang hebat ini untuk menjadi hebat. Jangan sia-siakannya.
Ada orang di musim ramadhan ini dia tidak berpuasa tetapi dia berpuas. Maksudnya dia hendak memuaskan nafsunya sehinggakan perbelanjaan musim ramadannya meningkat. Paras glukos juga meningkat kerana banyak makan dan minum. Badan menjadi semakin gemuk. Jika itu berlaku jelas sekali bukan takwa yang kita capai tetapi kemudaratan dan kepincangan.
Akhir sekali saya ingin menyentuh tentang integriti. Malaysia telah melancarkan IIM ( Institut Integriti Malaysia ) baru-baru ini. Bagi saya latihan berpuasa merupakan latihan ke arah integriti. Jika ada orang bertanya kepada kita bagaimana kita hendak melatihkan diri kita agar mempunyai integriti, jawablah kepadanya bahawa Islam mengutarakan puasa sebagai latihan untuk meningkatkan integriti. Integriti bermaksud amanah dan kejujuran. Bayangkan apabila kita berpuasa tidak ada seorang pun yang boleh mengetahui samada kita benar-benar berpuasa ataupun tidak. Kita boleh berbohong dan memperdayakan orang lain dengan mengatakan, “Oh saya berpuasa”, sedangkan sebenarnya kita tidak berpuasa. Tidak ada seorang pun yang boleh memastikan samada perkataan kita itu benar ataupun tidak.
Hal ini disebabkan, puasa tidak mempunyai rukun perbuatan. Ia tidak seperti solat. Apabila kita bersolat ada perbuatan khusus yang perlu kita lakukan. Sesiapa yang melihat kita melakukan perbuatan itu dia akan mengatakan (sebagai contoh), “Oh si Ahmad sedang bersolat. Lihat dia sedang ruku' dan sujud”. Demikian juga ketika kita mengeluarkan zakat ada barangan yang hendak kita berikan kepada amil, sebagai contoh. Puasa tidak seperti itu. Ketika berpuasa seseorang perlu meninggalkan perbuatan yang membatalkan puasa bukannya melakukan sesuatu perbuatan. Lantas puasa melatih kita tentang integriti. Andaikata kita betul-betul berpuasa dengan ikhlas dan kita melakukannya kerana Allah kita hebat. Kita boleh berbuka di siang hari tetapi tidak melakukannya. Kita boleh melakukan segala perbuatan yang di larang tetapi kita tidak melakukannya sebab Allah maha mengetahui walaupun orang lain tidak mengetahui. Inilah latihan tentang integriti.
Maka dalam Islam sudah ada ramuan-ramuan untuk menjadikan kita insan kelas pertama. Terpulang kepada kita sendiri samada hendak menghayatinya ataupun tidak. Justeru, marilah sama-sama kita menghayatinya dan semoga Ramadan Al-Mubarak ini merupakan titik permulaan kepada usaha kita untuk menjadikan diri, keluarga dan masyarakat kita insan kelas pertama di sisi Allah swt insyaallah.