Wednesday, February 20, 2008

BN tolak negara berkebajikan untuk rakyat


Ketua Penerangan PAS Pusat Wed Feb 20, 08 8:14:20 pm MYT

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyifatkan kenyataan-kenyataan dangkal pemimpin BN yang cuba mengelirukan rakyat untuk menolak tawaran negara berkebajikan yang ditawarkan oleh PAS. Sikap angkuh dan sombong pemimpin BN terhadap kebajikan rakyat ini membuktikan bahawa Umno/BN adalah parti yang lebih mementingkan kroni dan anak menantu mereka berbanding rakyat. PAS membuat tawaran yang begitu bermakna untuk kebajikan rakyat pada masa hadapan, tetapi Umno cuba memberikan gambaran yang salah dengan harapan rakyat dapat terus ditindas dan dianiya oleh mereka.
Blocked Ad-->
Antara dakwaan palsu pemimpin Umno/BN ialah negara akan bankrap jika mengamalkan konsep negara berkebajikan. Dakwaan ini amat tidak munasabah kerana tidak ada sebarang bukti mana-mana negara yang telah bankrap kerana memberikan kebajikan kepada rakyat. Satu bukti yang paling jelas ialah Kelantan yang memiliki sumber pendapatan yang sangat terhad pun tidak bankrap apabila mengamalkan prinsip berkebajikan untuk rakyat. Mustahil negara sekaya Malaysia akan bankrap, kecuali jika terus dipimpin oleh pemimpin BN yang terkenal boros, suka membazir, menyelewengan, mengamalkan rasuah, kronisme dan nepotisme. Negara yang telus, beramanah, adil dan bersih sudah tentu dapat menguruskan kepentingan awam dengan cekap seperti yang berlaku di Kelantan.
Negara berkebajikan juga tidak bermaksud akan menaikkan cukai dengan tinggi untuk menampung kos kebajikan rakyat. PAS tidak menyebut untuk menaikkan cukai, tetapi kita berjanji untuk menghapuskan cukai-cukai tertentu, menurunkan harga minyak dan menghapuskan tol, menyediakan pendidikan dan kesihatan percuma serta membela kepentingan golongan miskin dan kurang upaya. PAS tidak berhasrat untuk menaikkan cukai bagi membiayai semua kos ini, tetapi akan kita akan menggunakan wang yang 'diselamatkan' daripada pembaziran dan penyelewengan untuk menampung semua kos ini. Sebagai contoh, Kerajaan BN membazirkan RM5 bilion dengan projek sains dan metametik dalam bahasa Inggeris, serta RM4.5 bilion kerana menangguhkan projek landasan berkembar. Jika PAS memerintah, wang rakyat sejumlah RM10 bilion ini boleh menampung kos kesihatan dan pendidikan percuma. Jika kita bimbangkan kenaikan cukai, hari ini pun cukai yang dikenakan oleh Kerajaan BN cukup tinggi sama secara langsung atau tidak langsung.
PAS juga mengutuk dakwaan dangkal Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang mendakwa negara akan mengalami defisit sehingga 12 peratus setahun kerana menjaga kebajikan rakyat. Dalam keadaan sekarang, kerajaan BN yang sememangnya menindas dan menganiyai rakyat ini pun mengalami defisit, kerana BN lebih menjaga kebajikan kroni berbanding kebajikan rakyat jelata. Maka kita melihat jika amalan kronisme dan projek untuk menantu dihapuskan, ia boleh menyelamatkan perbelanjaan Negara dan kebajikan rakyat tentunya terbela. Pada hari ini, berapa banyak wang rakyat mengalir ke poket menantu Perdana Menteri yang berkuasa dari padang bola hingga ke bursa saham, sedangkan jika ia ditadbir secara telus rakyat mendapat banyak manfaat. Kita tidak boleh berbangga jika belanjawaan kita tidak defisit, tetapi sebahagian besar KNK berada dalam poket menantu atau anak-anak pemimpin BN. Khairy tidak perlu bercakap untuk pihak rakyat, kerana rakyat sudah muak dengan amalan mencekik darah yang diamalkan oleh pihak yang berkuasa di Tingkat 4 JPM itu.
Secara mudah kita dapat memahami bahawa Umno/BN memang sekali-kali tidak berhasrat untuk menjaga kebajikan rakyat. Amat malang bagi rakyat Negara ini jika terus berpemimpin yang angkuh dan sombong seperti ini yang lebih mengutamakan kebajikan anak menantu dan kroni daripada kebajikan rakyat. Pemimpin Umno/BN sengaja cuba mengelirukan rakyat dengan dakwaan-dakwaan palsu supaya rakyat terus mengundi mereka. Jika mereka dapat terus berkuasa, maka senanglah hidup anak menantu dan kroni mereka melalui projek 'kebajikan kronisme dan nepotisme' BN, dan rakyat akan terus dibiarkan merempat serta ditindas dengan cukai, tol, inflasi, yuran sekolah, bayaran hospital yang tinggi. Yang penting pemimpin BN dan anak menantu mereka hidup mewah, jangan rakyat diberikan kebajikan. Itulah perjuangan sebenar Umno/BN!
HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Ketua Penerangan PAS PusatMerangkap Calon PAS di P008 Pokok Sena.19 Februari 2008

Thursday, February 7, 2008

Syahadah - Tuntutan & Penghayatan oleh Ustaz Nasarudin Tantawi

Monday, January 21, 2008

لا إله إلا الله محمد رسول الله Tuntutan dan Penghayatannya. ( Oleh : Hj. Nasrudin bin Hj. Hassan at Tantawi )
بسم الله الرحمن الرحيم MUQADDIMAH .
Islam bertunjangkan aqidah yang sejahtera . Aqidah yang selamat dari sebarang virus yang menggugat dan menghakis nilai keyakinan kepada Allah Azza Wajalla . Khasnya virus syirik yang bahayanya mampu menghalang kelayakkan seseorang untuk menduduki syurga Allah swt.
Tentunya لا إله إلا الله adalah anti biotic yang efektif untuk membasmi penguasaan virus syirik yang amat merbahaya . Namun begitu , لا إله إلا الله mesti direalisasikan seluruh prinsip dan tuntutannya dalam kehidupan setiap individu . Selamatnya individu tersebut bergantung kepada sejauh mana ia berupaya memiliki prinsip dan melaksanakan tuntutan لا إله إلا الله .
PENGERTIAN لا إله إلا الله .
لا إله إلا الله : TIADA yang diikuti , dituruti , dipatuhi dan disembah selain daripada Allah swt.
Firman Allah swt :
"Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku.
( Taha 14 )
Firman Allah swt :
Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.
( Al Fatihah 5 )
لا إله إلا الله : PETUNJUK dan DOA hanya kepada Allah swt .
Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka [1], bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.
( Al Fatihah 6 – 7 )
Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).
( Al Qasas 56 )
لا إله إلا الله : Menyeru supaya TAAT dan TAKUT hanya kepada Allah swt. serta dalam masa yang sama mestilah mendurhakai hawa nafsu yang menyeleweng. Pengertian ini melahirkan sifat dan watak TAQWA kepada Allah swt. apabila ianya dicerna dalam dua keadaan serentak :
1. Tunduk kepada Allah swt. 2. Lawan hawa Nafsu yang menyeleweng .
Firman Allah swt :
Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu, Maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya
( An Naaziaat 40 – 41 ).
Mereka yang berhak menduduki syurga Allah swt. Ialah mereka yang:
1. Takut pada kebesaran Tuhannya 2. Cegah diri dari pengaruh hawa nafsu
Pengertian Taqwa :
1. Takut dalam erti kata TAAT ( melaksanakan semua bentuk perintah Allah samaada ringan atau berat dan meninggalkan semua larangan Allah swt. )
Cinta yang mendalam kepada Allah swt. dan tidak sampai bermain kayu tiga dengan Allah swt.
Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah berkata :
“ Hati tidak berasa gembira dan mencapai kelazatan yang sempurna melainkan hati itu sentiasa berada dalam keadaan cinta kepada Allah swt. dan senantiasa menghampirinya dengan apa yang dikasihinya . Tidak mungkin hati itu rasa cinta dan kasih kepadaNya melainkan dengan meninggalkan semua perkara yang dikasihi selainNya. Inilah hakikat لا إله إلا الله “
لا إله إلا الله : Juga memberi erti Mengikut dan mematuhi apa sahaja perintah yang datang daripada Allah swt.
(Katakanlah kepada mereka wahai Muhammad): "Turutlah apa yang telah diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu dan janganlah kamu menurut pemimpin-pemimpin yang lain dari Allah; (tetapi sayang) amatlah sedikit kamu mengambil peringatan".
( Al A’raaf 3 )
Sebagai seorang mukmin kita tidak selayaknya banyak soal dan dalih dalam menerima arahan Allah swt.
عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِىَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَّمَ يَقُوْلُ : مَا نَهَيْتُكُمْ عَنْهُ فَاجْتَنِبُوهُ وَ مَا أَمَرْتُكُمْ بِهِ فَأتُوْا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ فَإِنْمَا أَهْلَكَ الَّذِيْنَ مِنْ قَبْلِكُمْ كَثْرَةُ مَسَائِلِهِمْ وَ اخْتِلاَفِهِمْ عَلى أَنْبِيَائِهِمْ .
Maksudnya : “ Dari Abi Hurairah Rha. Berkata : Aku telah mendengar Rasulullah saw. Bersabda : Apa yang telah aku larang kamu daripada melakukannya , maka hendaklah kamu menjauhinya dan apa yang aku perintahkan kamu maka laksanakanlah semampu mungkin , maka sesungguhnya telah rugilah orang – orang sebelum daripada kamu kerana banyaknya persoalan mereka dan wujudnya percanggahan pendapat terhadap nabi - nabi mereka .
( Riwayat Bukhari dan Muslim )
Sebagai seorang mukmin , jua tidak seharusnya kita menggunakan logikal manusia semata – mata dalam membuat penilaian ( untuk menerima atau menolak ) sesuatu hukum atau perundangan .
Berkata Imam Syafie Rhm. :
“ Kiranya Islam itu dinilai secara logik , nescaya segalanya rosak dan binasa . Contohnya : kenapa tatkala kita buang air besar , kita hanya diwajibkan basuh sedangkan ianya jelas najis . apabila keluar air mani , kita diwajibkan mandi sedang ianya tidak najis.”
Ini menunjukkan kepada kita , bahawa Islam diamalkan bukan kerana logik atau tidak sesuatu amalan tersebut, tetapi berdasarkan ketaatan menjunjung tinggi titah perintah Allah saw.
Firman Allah swt :
(Katakanlah kepada mereka wahai Muhammad): "Turutlah apa yang telah diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu dan janganlah kamu menurut pemimpin-pemimpin yang lain dari Allah; (tetapi sayang) amatlah sedikit kamu mengambil peringatan".
( al a'raaf : 3 )
Negara kita tidak ketinggalan menerima ancaman dari golongan Aqlaniyyah yang cuba menafsirkan semula Al Quran menggunakan aqal dan logik .
Sabda Rasulullah : [2]
عن سعيد بن جُبَيْرٍ عن ابْنِ عباسٍ رضي الله عنهما قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم مَنْ قَالَ فِي اْلقُرْآنِ بِغَيْرِ عِلْمٍِ فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ .
رواه الترمذي وقال أبو عيس هذا حديث حسن صحيح
“ Barangsiapa yang bercakap mengenai ( menafsirkan ) AlQuran tanpa ilmu ( berdasarkan pandangan aqalnya semata – mata ) , maka silalah sediakan tempat tinggalnya di dalam Api neraka.”
( Riwayat at Tarmizi )
Menafsirkan Al – Quran mestilah berasaskan qaedah yang ditetapkan, bukan secara ' semborono ' atau ' hentam kromo ' juga bukan mengikut ' faham sendiri ' yang jauh dari ketetapan qaedah muktabar.
Ijma’ ulama’ menggariskan qaedah tafsir dalam 5 usul dan qawai’d [3] :
1. Tafsir Quran dengan Quran 2. Tafsir Quran dengan Sunnah 3. Tafsir Quran dengan kata–kata Sahabat Rhm. 4. Tafsir Quran dengan Lughah Arabiah 5. Tafsir Quran dengan apa yang difahami daripada ayat . ( seperti berasaskan Asbabun Nuzul dan Dhohir ayat . )
Imam As – Sayuthi berkata :
“ Tidak adalah yang lebih jahat dan bodoh daripada daripada ulama’ yang menggunakan ayat – ayat quran untuk membenarkan pemikirannya ( yang berdasarkan hawa nafsu ) ”
Sebagai seorang mukmin kita tidak harus degil dan takabbur terhadap ketetapan Allah swt.
لا إله إلا الله memaksa kita tunduk dan patuh kepada kebenaran Ilahi . Keengganan kita hanyalah membawa kita ke Neraka Allah dan kekal di dalamnya .
Firman Allah swt :
" Dan orang-orang kafir yang mendustakan ayat-ayat keterangan kami, mereka itu ialah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.”
( Al Baqarah 39 )
Sifat enggan dan takabbur inilah menjadi 2 sifat aktif yang mendorong seseorang menjadi kufur kepada Allah swt. sebagaimana ianya pernah menimpa Iblis A’laihi Laknatullah .
Firman Allah swt :
“ Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: "Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam". Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.”
( Al Baqarah 34 )
Namun , amat malang sekali apabila budaya degil dan sombong ini berkembang pesat dikalangan segelintir ummat Islam semata – mata kerana sikap tidak mahu mengalah . Sedang kita telah diajar oleh Allah swt :
“(Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah ugama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) ugama Allah, iaitu ugama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah ugama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”
( Ar Ruum 30 )
لا إله إلا الله : Bererti menolak dan menjauhkan diri secara menyeluruh akan semua bentuk undang – undang dan cara hidup Jahiliyyah .
“Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal - kepada orang-orang yang penuh keyakinan - tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih pada daripada Allah. . Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim.”
( Al Maaidah 50 – 51 )
[1] Ayat 69 dari Surah An Nisa’ ( di bawah ) adalah menafsirkan golongan yang mendapat nikmat .
[2] Sunan at Tarmizi . Jilid 5 . Muka surat 199 . كتاب تفسير القرآن عن رسول الله صلى الله عليه وسلم
[3] Keterangan lanjut Ruju’ Kitab أصول التفسير و قواعده Karangan Syeikh Khalid Abdur Rahman .
posted by Us.Hj. Nasrudin Hj. Hassan At Tantawi @ 1:26:00 PM 0 comments